Perutusan Hari Kebangsaan Yang Di-Pertuan Agong

TITAH
SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
AL-WATHIQU BILLAH TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN
IBNI AL-MARHUM SULTAN MAHMUD
AL-MUKTAFI BILL AH SHAH
SEMPENA ULANGTAHUN
SAMBUTAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN NEGARA KALI
KE-52

 

 

Bismillahir Rahmannir Rahim,
Al-hamdulillahi Rabbil ‘Alamin,
Wabihi Nasta’in .
Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah,

 

Beta  memanjatkan  rasa  syukur  ke  hadrat  Allah
Subhanahu Wata’ala,
atas limpah  kurnia-Nya, dapat Beta dan seluruh
rakyat  menyambut  dan  meraikan  Ulang  Tahun  Kemerdekaan  Negara
Kali  Ke-52  pada  tahun  ini.  Besarlah    harapan  Beta  semoga  sambutan
kemerdekaan  pada  tahun  ini  disambut  dengan penuh  kesyukuran  dan
keinsafan daripada seluruh rakyat jelata, khususnya warga pendidik dan
murid-murid sekolah.

 

2.  Beta  berasa  syukur  dan  berbangga  kerana  rakyat  jelata  masih
dapat  meraikan  sambutan  kemerdekaan  dalam  suasana  yang  penuh
harmoni  dan  semangat  perpaduan.  Beta  percaya  bahawa  perpaduan
dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum merupakan
tonggak keamanan dan kesejahteraan negara. Oleh itu, Beta  berharap
supaya  nilai-nilai  murni  yang  kita  amalkan  selama  ini  dikekalkan  bagi
melahirkan insan yang berakhlak mulia dan berbudi pekerti.

 

3.   Beta  juga  berharap  agar  negara  kita  menjadi  model  kepada
negara-negara  lain  khususnya  dalam  kebebasan  mengamalkan  ajaran
agama.  Justeru,  keharmonian  yang  dikecapi  ini  melambangkan

 

kesefahaman dan toleransi dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada
penganut  agama  yang  berbeza.  Kesefahaman  ini  bukanlah  mudah
untuk  kita  perolehi.    Tetapi  berkat  pengorbanan  dan  sikap  bertolak
ansur  dalam  kalangan  rakyat  mengamalkan  ajaran  agama  masing-
masing, maka kita berjaya mewujudkan sebuah negara yang makmur.

 

4.  Justeru,  Beta  berharap  para  pendidik  dan  murid-murid  perlu
menghayati erti kemerdekaan supaya menjadi bangsa yang mendokong
cita-cita  perjuangan  tokoh-tokoh  kemerdekaan  yang  terdahulu.
Kesedaran  ini  akan  menyemarakkan  semangat  cinta  akan  negara  dan
kesetiaan  yang  tidak  berbelah  bahagi.  Hal  ini  bertepatan  dengan
peribahasa  Melayu yang berbunyi  Di  mana  bumi dipijak,  di situ langit
dijunjung . Sehubungan dengan itu, sejarah kemerdekaan negara perlu
difahami dan dihayati.  Beta berharap para pendidik meneruskan usaha
murni ke arah melahirkan generasi muda yang celik sejarah. Beta yakin,
apabila  generasi  muda  kita  celik  sejarah,  kita  berupaya  mewujudkan
modal insan yang bertanggungjawab dan berhemah tinggi.

 

5.  Dalam  mengekalkan  kemerdekaan  selama  52  tahun,  kita  telah
dapat  menghayati  satu  kelangsungan  amalan  yang  termaktub  dalam
Perlembagaan  Negara.  Hasilnya,  tanpa  mengira  perbezaan  kaum  dan
agama,  kita  berupaya  mengekalkan  hak  kehidupan  di  dalam  negara
yang berdaulat  ini. Beta berharap agar  para  pendidik dan  murid-murid
menjadikan  Perlembagaan  Negara  sebagai  satu  wahana  ke  arah
mengekalkan  kemerdekaan  dan  kedaulatan  negara.  Oleh  itu,  kita

 

 

mampu  mengangkat  martabat  negara  ke  arah  negara  maju  di  mata
dunia.

 

6.  Kemajuan  yang  dinikmati  tidak  mampu  dikekalkan  sekiranya
kestabilan politik tidak dapat diwujudkan. Justeru, Beta berharap rakyat
dapat  berpadu tenaga dan  fikiran  ke arah mewujudkan kestabilan dan
keamanan negara yang berterusan. Oleh itu, Beta menyeru agar rakyat
dan pemimpin tanpa mengira ideologi politik dan agama bersama-sama
seia-sekata  merungkai  kesejahteraan  hidup  demi  negara  tercinta.
Hubungan yang erat antara pemimpin dan rakyat, hendaklah “Bagai aur
dengan  tebing”  supaya  tiada  jurang  yang  memisahkan  rakyat.  Beta
amat  berkenan  dengan  slogan  “Rakyat  Didahulukan,  Pencapaian
Diutamakan”.  Kesungguhan  para  pemimpin  membela  hak  rakyat
mestilah diutamakan dalam agenda perjuangan memartabatkan negara.
Sehubungan  dengan  itu,  negara  akan  terhindar  daripada  ancaman
anasir-anasir  jahat  yang  sentiasa  mengintai  peluang  untuk  memecah-
belahkan perpaduan rakyat.

 

7.  Beta  juga  bersyukur  kerana  negara  kita  berjaya  mengharungi
kegawatan  ekonomi  dengan  tabah.  Walaupun  tempiasnya  masih
dirasai, namun berkat  doa dan usaha  gigih para pemimpin negara dan
rakyat, kita masih mampu mengekalkan  kestabilan ekonomi dan   daya
saing negara di mata dunia. Dalam hal ini, kita perlu bersyukur  kerana
kesejahteraan  hidup  rakyat  dan  kemakmuran  negara  masih  dapat
dinikmati sepenuhnya. Oleh itu, Beta menyeru rakyat supaya bersama-

 

 

sama  menggembleng  tenaga  dan  usaha  memajukan  ekonomi  negara.
Beta percaya,  berkat kerjasama  semua  pihak, negara dan  rakyat akan
terus menikmati tahap prestasi ekonomi yang memberangsangkan.

 

8.  Untuk  memastikan  kemerdekaan  negara  terus  berkekalan,  Beta
berharap  agar  rakyat  terus  berpegang  teguh  kepada  prinsip-prinsip
Rukunegara.  Hal  ini  demikian  kerana  apabila  kelima-lima  prinsip  yang
terkandung  dalam  Rukunegara  diamalkan,  kesedaran, kepatuhan   dan
kesetiaan  kepada   negara akan terus  terpahat  di  hati  sanubari  rakyat.
Impaknya,  akan  lahirlah  rakyat  yang  berjiwa  patriotik  dan
mengamalkan  nilai-nilai  murni.  Beta  juga  inginkan  rakyat  terus
mengekalkan  perpaduan  dan  saling  menghormati  serta  bekerjasama,
bak  kata  pepatah  Melayu  “Yang berat sama dipikul, yang  ringan sama
dijinjing”, dan “Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”.

 

9.  Generasi  hari  ini  perlulah  mempunyai  minda  kelas  pertama
selaras  dengan  aspirasi  negara  iaitu menjadi  bangsa  yang  Cemerlang,
Gemilang  dan  Terbilang.  Beta  percaya  bahawa  rakyat  yang  berakhlak
mulia  mampu  menangkis  gejala-gejala  negatif  seperti  rasuah,
penyalahgunaan  dadah,  pecah  amanah,  gejala  sosial  dan  sikap
antinasional. Hal ini  amat relevan dengan dasar negara yang mahukan
nilai-nilai integriti  diterapkan  dalam  kehidupan. Oleh itu, Beta menyeru
rakyat  supaya  dapat  mengelakkan  sikap  antisosial  yang  boleh
menghancurkan keamanan dan kesejahteraan negara.

 

10.  Pada  hari  ini,  dunia  menghadapi  pelbagai  ancaman  akibat
daripada  pelbagai  kesilapan  yang  dilakukan  oleh  manusia  yang  tidak
bertanggungjawab.  Pelbagai  isu  berkaitan  alam  sekitar,  penyakit  dan
keamanan  sejagat  sering  diperkatakan.  Oleh  itu,  Beta  menyeru  agar
rakyat dapat  menangani  masalah  ini  secara positif  dan  rasional.  Sikap
dan  amalan  yang  berhikmah  semestinya  mendasari  setiap  tindakan
yang  dilakukan.  Dalam  hal  ini,  rakyat  mestilah  sentiasa  berfikiran
rasional  yang  Beta  yakin  menjadi  indikator  ke  arah  kejayaan  negara
bangsa.

 

11.  Harapan  Beta  agar  Ulang  Tahun  Kemerdekaan  kali  ini  menjadi
sambutan  yang mencetus dan menyemarakkan semangat ‘1MALAYSIA’
menjadi    kenyataan.  Kerukunan  hidup  mestilah  kita  utamakan  bagi
menjamin  hidup  yang  sejahtera  dan  berkekalan.  Oleh  itu,  Beta  juga
berharap  para  guru  dan  murid-murid  memahami  erti  kemerdekaan
dalam  erti  kata  yang  sebenarnya.  Perjuangan  memartabatkan  bangsa
dan  negara  dalam  mengekalkan  kelangsungan  kemerdekaan  negara
perlu  diteruskan.  Justeru,  keberkesanan  guru-guru  melaksanakan
tanggungjawab  mendidik  anak  bangsa  ialah  satu  amanah  yang  mesti
ditunaikan dengan penuh iltizam.

 

12.  Akhir titah, Beta berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar
sambutan  ulang  tahun  kemerdekaan  yang  kita  raikan  ini  dapat
merealisasikan  matlamat  mewujudkan  keamanan  dan  kemakmuran
negara, selaras dengan tema Ulang Tahun Sambutan Kemerdekaan Kali

 

Ke-52 iaitu 1MALAYSIA. Oleh itu, tema  ini mempunyai pengertian yang
amat  bermakna ke arah  menjadikan   Malaysia  sebagai  sebuah  negara
maju mengikut acuan kita sendiri.

 

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia Kali Ke-52

 

Sekian

 

Wabillahi  Taufik  Walhidayah  Wassalamualaikum
Warahmatullaahi Wabarakaatuh
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: