Perjumpaan Pertama Rumah Sukan

Pada 24 Jan 2010 telah diadakan perjumpaan Rumah Sukan.Perjumpaan kali pertama ini bertujuan melantik Pengerusi , Naib Pengerusi , Bendahari serta Ahli Jawatankuasa.

Selain itu, pada perjumpaan kali pertama ini,guru penasihat rumah sukan juga mengumumkan tarikh bermulanya latihan rumah sukan.Latihan rumah sukan akan bermula pada hari Rabu 27 Jan 2010 pada pukul 5.00 petang.

Selamat menjalani latihan rumah sukan.

Advertisements

100,000 pelajar ditawar pakej netbook TM

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Inisiatif kerajaan untuk membolehkan pelajar universiti memiliki netbook sendiri dengan perkhidmatan jalur lebar percuma sememangnya ditunggu-tunggu oleh pelajar dan pensyarah.

Pakej daripada Telekom Malaysia Berhad (TM) itu yang akan diperkenalkan tahun ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2010 pada Oktober tahun lepas.

Buat permulaan, TM akan menawarkan pakej netbook termasuk perkhidmatan jalur lebar percuma kepada 100,000 pelajar universiti dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh dua tahun. Pelajar tahun pertama dan daripada keluarga berpendapatan rendah akan diutamakan.

“TM akan membuat pengumuman mengenai penawaran pakej ini bersama butirannya tidak lama lagi,” kata Naib Presiden Produk Runcit TM, Aziz A. Hadi.

Katanya, selain menyumbang ke arah meningkatkan kadar penembusan jalur lebar ke arah memanfaatkan ICT sebagai penggerak masyarakat berpengetahuan, pakej komputer itu juga akan menyokong langkah kerajaan bagi meningkatkan kemahiran modal insan.

Pada tahun 2008, terdapat 400,949 penuntut tempatan yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan 399,852 di institusi pengajian tinggi swasta di negara ini.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, Mohd. Ridzuan Mohammad pula menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai tepat bagi membantu pelajar mengakses maklumat dengan cepat.

“Ianya memudahkan pelajar mencari rujukan dan juga untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini sama ada isu semasa dan juga apa sahaja yang dibuat oleh peringkat dunia dan juga dalam negara kita.

“Cuma yang saya harapkan adalah ruang yang diberikan oleh kerajaan ini akan dapat sambutan baik oleh pelajar dan mereka akan gunakannya untuk perkara yang positif, dengan erti kata lain mereka tidaklah menyalahgunakan dan sebagainya,” katanya.

Hanapi Azizul, 23, penuntut sarjana pengurusan dan pentadbiran di Universiti Teknologi Malaysia, berkata, inisiatif itu akan membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Kalau nak beli broadband dengan netbook itu sendiri mungkin tak mampu, biasiswa yang dapat pun kadang-kadang tak cukup, dengan adanya perkara seperti ini sedikit sebanyak membantu kami.

“Contohnya duit biasiswa, pinjaman atau duit yang diberikan oleh ibu bapa bolehlah kami jimatkan dan simpan. Manalah tahu kalau ada perkara penting nanti nak dibuat seperti praktikal di luar, masa itulah pelajar banyak nak guna duit,” katanya Hanapi.

Beberapa pensyarah universiti yang ditemu bual menyokong usaha kerajaan tersebut kerana mereka berpendapat kemudahan komputer dan jalur lebar merupakan satu keperluan dalam dunia sekarang.

Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Che Ibrahim Salleh berkata dengan adanya pembayaran secara ansuran itu, pelajar dapat merasai komitmen untuk mendapatkan pakej tersebut.

Timbalan Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Abdul Mua”ati @ Zamri Ahmad berkata, bayaran itu sangat berpatutan.

“Kalau kerajaan bagi free sahaja pun tak dihargai, kita tengok macam bantuan buku teks di sekolah-sekolahkan banyak yang tak dijaga, koyak, diconteng dan sebagainya. Itu sebab free.

“Tapi bila kena bayar RM50 sahaja bukan hanya pelajar mampu tetapi akan timbul rasa sayang dia kepada alat itu. Dan alat itu boleh digunakan untuk pembelajaran dia, jadi saya rasa langkah itu sesuatu yang bagus,” katanya.

Ketua Jabatan Komunikasi Kolej Universiti Islam Selangor, Nur Aina Nabila Dundai Abdullah, berkata, pelajar memang memerlukan kemudahan tersebut untuk menjadi lebih berdaya saing dengan pelajar negara luar.

“Memang cukup baguslah, biasanya pelajar pergi kafe siber sahaja…terlalu terhad masa yang digunakan untuk dapatkan maklumat, tapi dengan adanya kemudahan seperti ini sudah tentu ke mana sahaja mereka pergi mereka dapat akses Internet,” katanya. – BERNAMA

Penguasaan guru dalam ICT diutamakan – TPM

LONDON 12 Jan. – Malaysia yakin penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah mudah dilaksanakan dengan penumpuan kepada penguasaan di kalangan guru-guru.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendedahan melalui kursus berterusan kepada pentadbir sekolah, pengetua dan guru-guru dalam mewujudkan golongan celik komputer telah menunjukkan kesan ketara kepada perkembangan ICT di Malaysia.

Menurutnya, kajian British Commonwealth Group (BCG) 2008 dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) berkaitan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia menunjukkan wujudnya peningkatan kesedaran dan kreativiti di kalangan guru dan murid dalam penguasaan ICT.

“Malaysia mempunyai banyak inisiatif termasuk video pendidikan melalui web, EduWeb TV, dengan 9,331 sekolah mempunyai akses kepada lapan saluran projek School-Net melalui jalur lebar bagi mengurangkan jurang digital antara penduduk luar bandar dan bandar.

“Makmal komputer juga dibina di 6,633 sekolah. Pusat akses Internet sekolah dengan konsep kafe siber diwujudkan bagi kemudahan murid mencari maklumat di 3,029 sekolah di luar bandar,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menyampaikan ucaptama di Forum Pembelajaran dan Teknologi Baru 2010 di Pusat Persidangan Queen Elizabeth II di sini hari ini.

Seramai 73 Menteri Pelajaran dan juga pemimpin serta pegawai-pegawai pendidikan dunia menghadiri forum tersebut yang membincangkan mengenai pembelajaran dalam bidang ICT.

Ia forum pendidikan terbesar di dunia yang memfokuskan pembangunan dan integrasi ICT dalam pembelajaran di sekolah-sekolah.

Forum ini memberi peluang kepada Menteri Pelajaran, pegawai kanan kerajaan dan pihak berkaitan bertukar-tukar pendapat serta pengalaman mengenai pengunaan ICT di negara masing-masing.

Tambah Muhyiddin, gabungan penggunaan ICT dalam sistem pendidikan Malaysia telah memperlihatkan banyak kerjasama antara sektor swasta dan awam dalam membentuk perkongsian pintar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kini menjadi cabaran kepada guru berperanan sebagai fasilitator bagi memastikan penggunaan ICT yang membawa kepada pelbagai bentuk kemajuan itu dapat dicapai.

“Pada masa sama, kita juga sentiasa mengingatkan para guru bahawa teknologi itu hanyalah alat.

“Interaksi di dalam kelas dengan murid-murid juga perlu diutamakan di samping penggunaan ICT dalam pembelajaran. Tiada teknologi yang boleh menggantikan guru,” jelasnya.

Katanya, cabaran lain adalah kos yang tinggi dalam melaksanakan ICT terutama ketika negara menghadapi krisis ekonomi,

Bagaimanapun, tambahnya, kerajaan mendapat kerjasama baik daripada komuniti sekitar dan sektor swasta dalam menjayakan program ICT di sekolah.

Muhyiddin turut menyentuh mengenai keperluan menjadikan pendidikan sebagai pertahanan paling utama negara bagi keselamatan ekonomi dan memberi jaminan kesihatan termasuk membantu dunia memerangi kebuluran.

“Selain menjadikan forum ini sebagai medan perkongsian kemahiran mengenai teknologi, jadikan ia untuk menjalinkan kerjasama erat bagi keamanan dunia melalui komunikasi dan informasi teknologi yang lebih baik dalam ikatan persaudaraan pendidikan,” katanya. – utusan

Selamat Tahun Baru 2010 dan Selamat Kembali ke Sekolah

 

Selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar, guru dan staff SK Kurong Hitam. Semoga tahun 2010 membawa lebih kejayaan dengan azam dan semangat baru…Amin