Perutusan Hari Kebangsaan Yang Di-Pertuan Agong

TITAH
SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
AL-WATHIQU BILLAH TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN
IBNI AL-MARHUM SULTAN MAHMUD
AL-MUKTAFI BILL AH SHAH
SEMPENA ULANGTAHUN
SAMBUTAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN NEGARA KALI
KE-52

 

 

Bismillahir Rahmannir Rahim,
Al-hamdulillahi Rabbil ‘Alamin,
Wabihi Nasta’in .
Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah,

 

Beta  memanjatkan  rasa  syukur  ke  hadrat  Allah
Subhanahu Wata’ala,
atas limpah  kurnia-Nya, dapat Beta dan seluruh
rakyat  menyambut  dan  meraikan  Ulang  Tahun  Kemerdekaan  Negara
Kali  Ke-52  pada  tahun  ini.  Besarlah    harapan  Beta  semoga  sambutan
kemerdekaan  pada  tahun  ini  disambut  dengan penuh  kesyukuran  dan
keinsafan daripada seluruh rakyat jelata, khususnya warga pendidik dan
murid-murid sekolah.

 

2.  Beta  berasa  syukur  dan  berbangga  kerana  rakyat  jelata  masih
dapat  meraikan  sambutan  kemerdekaan  dalam  suasana  yang  penuh
harmoni  dan  semangat  perpaduan.  Beta  percaya  bahawa  perpaduan
dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum merupakan
tonggak keamanan dan kesejahteraan negara. Oleh itu, Beta  berharap
supaya  nilai-nilai  murni  yang  kita  amalkan  selama  ini  dikekalkan  bagi
melahirkan insan yang berakhlak mulia dan berbudi pekerti.

 

3.   Beta  juga  berharap  agar  negara  kita  menjadi  model  kepada
negara-negara  lain  khususnya  dalam  kebebasan  mengamalkan  ajaran
agama.  Justeru,  keharmonian  yang  dikecapi  ini  melambangkan

 

kesefahaman dan toleransi dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada
penganut  agama  yang  berbeza.  Kesefahaman  ini  bukanlah  mudah
untuk  kita  perolehi.    Tetapi  berkat  pengorbanan  dan  sikap  bertolak
ansur  dalam  kalangan  rakyat  mengamalkan  ajaran  agama  masing-
masing, maka kita berjaya mewujudkan sebuah negara yang makmur.

 

4.  Justeru,  Beta  berharap  para  pendidik  dan  murid-murid  perlu
menghayati erti kemerdekaan supaya menjadi bangsa yang mendokong
cita-cita  perjuangan  tokoh-tokoh  kemerdekaan  yang  terdahulu.
Kesedaran  ini  akan  menyemarakkan  semangat  cinta  akan  negara  dan
kesetiaan  yang  tidak  berbelah  bahagi.  Hal  ini  bertepatan  dengan
peribahasa  Melayu yang berbunyi  Di  mana  bumi dipijak,  di situ langit
dijunjung . Sehubungan dengan itu, sejarah kemerdekaan negara perlu
difahami dan dihayati.  Beta berharap para pendidik meneruskan usaha
murni ke arah melahirkan generasi muda yang celik sejarah. Beta yakin,
apabila  generasi  muda  kita  celik  sejarah,  kita  berupaya  mewujudkan
modal insan yang bertanggungjawab dan berhemah tinggi.

 

5.  Dalam  mengekalkan  kemerdekaan  selama  52  tahun,  kita  telah
dapat  menghayati  satu  kelangsungan  amalan  yang  termaktub  dalam
Perlembagaan  Negara.  Hasilnya,  tanpa  mengira  perbezaan  kaum  dan
agama,  kita  berupaya  mengekalkan  hak  kehidupan  di  dalam  negara
yang berdaulat  ini. Beta berharap agar  para  pendidik dan  murid-murid
menjadikan  Perlembagaan  Negara  sebagai  satu  wahana  ke  arah
mengekalkan  kemerdekaan  dan  kedaulatan  negara.  Oleh  itu,  kita

 

 

mampu  mengangkat  martabat  negara  ke  arah  negara  maju  di  mata
dunia.

 

6.  Kemajuan  yang  dinikmati  tidak  mampu  dikekalkan  sekiranya
kestabilan politik tidak dapat diwujudkan. Justeru, Beta berharap rakyat
dapat  berpadu tenaga dan  fikiran  ke arah mewujudkan kestabilan dan
keamanan negara yang berterusan. Oleh itu, Beta menyeru agar rakyat
dan pemimpin tanpa mengira ideologi politik dan agama bersama-sama
seia-sekata  merungkai  kesejahteraan  hidup  demi  negara  tercinta.
Hubungan yang erat antara pemimpin dan rakyat, hendaklah “Bagai aur
dengan  tebing”  supaya  tiada  jurang  yang  memisahkan  rakyat.  Beta
amat  berkenan  dengan  slogan  “Rakyat  Didahulukan,  Pencapaian
Diutamakan”.  Kesungguhan  para  pemimpin  membela  hak  rakyat
mestilah diutamakan dalam agenda perjuangan memartabatkan negara.
Sehubungan  dengan  itu,  negara  akan  terhindar  daripada  ancaman
anasir-anasir  jahat  yang  sentiasa  mengintai  peluang  untuk  memecah-
belahkan perpaduan rakyat.

 

7.  Beta  juga  bersyukur  kerana  negara  kita  berjaya  mengharungi
kegawatan  ekonomi  dengan  tabah.  Walaupun  tempiasnya  masih
dirasai, namun berkat  doa dan usaha  gigih para pemimpin negara dan
rakyat, kita masih mampu mengekalkan  kestabilan ekonomi dan   daya
saing negara di mata dunia. Dalam hal ini, kita perlu bersyukur  kerana
kesejahteraan  hidup  rakyat  dan  kemakmuran  negara  masih  dapat
dinikmati sepenuhnya. Oleh itu, Beta menyeru rakyat supaya bersama-

 

 

sama  menggembleng  tenaga  dan  usaha  memajukan  ekonomi  negara.
Beta percaya,  berkat kerjasama  semua  pihak, negara dan  rakyat akan
terus menikmati tahap prestasi ekonomi yang memberangsangkan.

 

8.  Untuk  memastikan  kemerdekaan  negara  terus  berkekalan,  Beta
berharap  agar  rakyat  terus  berpegang  teguh  kepada  prinsip-prinsip
Rukunegara.  Hal  ini  demikian  kerana  apabila  kelima-lima  prinsip  yang
terkandung  dalam  Rukunegara  diamalkan,  kesedaran, kepatuhan   dan
kesetiaan  kepada   negara akan terus  terpahat  di  hati  sanubari  rakyat.
Impaknya,  akan  lahirlah  rakyat  yang  berjiwa  patriotik  dan
mengamalkan  nilai-nilai  murni.  Beta  juga  inginkan  rakyat  terus
mengekalkan  perpaduan  dan  saling  menghormati  serta  bekerjasama,
bak  kata  pepatah  Melayu  “Yang berat sama dipikul, yang  ringan sama
dijinjing”, dan “Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”.

 

9.  Generasi  hari  ini  perlulah  mempunyai  minda  kelas  pertama
selaras  dengan  aspirasi  negara  iaitu menjadi  bangsa  yang  Cemerlang,
Gemilang  dan  Terbilang.  Beta  percaya  bahawa  rakyat  yang  berakhlak
mulia  mampu  menangkis  gejala-gejala  negatif  seperti  rasuah,
penyalahgunaan  dadah,  pecah  amanah,  gejala  sosial  dan  sikap
antinasional. Hal ini  amat relevan dengan dasar negara yang mahukan
nilai-nilai integriti  diterapkan  dalam  kehidupan. Oleh itu, Beta menyeru
rakyat  supaya  dapat  mengelakkan  sikap  antisosial  yang  boleh
menghancurkan keamanan dan kesejahteraan negara.

 

10.  Pada  hari  ini,  dunia  menghadapi  pelbagai  ancaman  akibat
daripada  pelbagai  kesilapan  yang  dilakukan  oleh  manusia  yang  tidak
bertanggungjawab.  Pelbagai  isu  berkaitan  alam  sekitar,  penyakit  dan
keamanan  sejagat  sering  diperkatakan.  Oleh  itu,  Beta  menyeru  agar
rakyat dapat  menangani  masalah  ini  secara positif  dan  rasional.  Sikap
dan  amalan  yang  berhikmah  semestinya  mendasari  setiap  tindakan
yang  dilakukan.  Dalam  hal  ini,  rakyat  mestilah  sentiasa  berfikiran
rasional  yang  Beta  yakin  menjadi  indikator  ke  arah  kejayaan  negara
bangsa.

 

11.  Harapan  Beta  agar  Ulang  Tahun  Kemerdekaan  kali  ini  menjadi
sambutan  yang mencetus dan menyemarakkan semangat ‘1MALAYSIA’
menjadi    kenyataan.  Kerukunan  hidup  mestilah  kita  utamakan  bagi
menjamin  hidup  yang  sejahtera  dan  berkekalan.  Oleh  itu,  Beta  juga
berharap  para  guru  dan  murid-murid  memahami  erti  kemerdekaan
dalam  erti  kata  yang  sebenarnya.  Perjuangan  memartabatkan  bangsa
dan  negara  dalam  mengekalkan  kelangsungan  kemerdekaan  negara
perlu  diteruskan.  Justeru,  keberkesanan  guru-guru  melaksanakan
tanggungjawab  mendidik  anak  bangsa  ialah  satu  amanah  yang  mesti
ditunaikan dengan penuh iltizam.

 

12.  Akhir titah, Beta berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar
sambutan  ulang  tahun  kemerdekaan  yang  kita  raikan  ini  dapat
merealisasikan  matlamat  mewujudkan  keamanan  dan  kemakmuran
negara, selaras dengan tema Ulang Tahun Sambutan Kemerdekaan Kali

 

Ke-52 iaitu 1MALAYSIA. Oleh itu, tema  ini mempunyai pengertian yang
amat  bermakna ke arah  menjadikan   Malaysia  sebagai  sebuah  negara
maju mengikut acuan kita sendiri.

 

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia Kali Ke-52

 

Sekian

 

Wabillahi  Taufik  Walhidayah  Wassalamualaikum
Warahmatullaahi Wabarakaatuh
Advertisements

Perutusan Hari Kebangsaan Perdana Menteri

By  :  DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
Venue  :  PUTRAJAYA
Date  :  30/08/2009
Title  :  PERUTUSAN HARI KEMERDEKAAN KE-52
 
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam 1Malaysia.
 
Tuan-tuan dan Puan-Puan,
 
1.            Alhamdulillah, pertama sekali marilah kita semua mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T. justeru di atas rahmat dan limpah izin-Nya jua, esok sekali lagi kita akan menyambut hari kebangsaan kali ke-52 dengan tema 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
 
2.            Lima puluh dua tahun yang lalu, sekumpulan patriot negara yang diterajui oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-haj telah berjaya mencapai kemerdekaan negara setelah hampir lima kurun berada di bawah belenggu penjajahan. 
 
3.            Pasca kemerdekaan kemudiannya menyaksikan tugas dan tanggungjawab  untuk menentukan arah tuju tanah air yang satu ketika dahulu berada di dalam genggaman  penjajah telah beralih ke tangan anak watan.
 
4.            Dengan pengalaman berkerajaan sendiri begitu singkat, berlatar belakangkan pula pemberontakan komunis yang  masih belum reda, wujudnya ketidakseimbangan sosioekonomi yang meluas di tambah lagi dengan sifat majmuk negara baru, maka banyak pihak kala itu yang meramalkan bahawa Malaya ibarat retak menanti belah dan tidak mungkin berjaya.
 
5.            Namun begitu, kita telah membuktikan bahawa sangkaan tersebut meleset sama sekali. Di dalam tempoh lima dekad merdeka kita telah berjaya muncul sebagai negara membangun yang termaju. Kita  telah menjadi negara pertama di dunia yang berjaya mengalahkan pemberontakan komunis di samping kita juga berjaya mewujudkan keadilan sosial dengan rasa kehakmilikan saksama hanya dalam tempoh masa amat singkat yakni dua generasi sahaja.  
 
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
 
6.            Apakah formula rahsia yang telah mendasari kejayaan ini? Sesungguhnya, tidak lain dan tidak bukan, ia adalah faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada falsafah meraikan kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan bukannya perkara titik bengik yang menyebabkan perpecahan.
 
7.            Sayangnya, masa yang berguling telah menyaksikan jambatan dibina oleh bapa-bapa kita dahulu dengan segala susah payah telah mula digoyahkan oleh golongan tertentu yang cuba menangguk di air keruh. Mereka telah mengeksploitasikan garis-garis gelinciran yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum sama ada ianya bersifat politik, agama mahupun sosial demi untuk memuaskan agenda sempit mereka. 
 
8.            Di persimpangan ini, cabaran terbesar rakyat Malaysia ialah untuk membaik pulih jambatan yang sedia ada di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah antara sesama kita.  Pokoknya, kita perlu terus mengurus kejayaan, membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan terpupuk selama ini. Beringatlah, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik malah akan musnah jika kita tidak berwaspada. Buktinya, lipatan sejarah dunia sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan. 
 
9.            Benarlah kata orang, yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek. Sehubungan itu, saya ingin berpesan kepada semua terutamanya generasi muda bahawa nikmat yang kita sedang kecapi hari ini tidak terhasil begitu sahaja tanpa perancangan yang rapi, pelaksanaan yang cekap dan pengorbanan yang tinggi.
 
10.         Kejayaan ini hasil perjuangan, keringat, air mata dan darah para wira serta para wirawati negara sama ada yang di dendang atau pun tidak. Ia dibangunkan oleh pendahulu-pendahulu kita yang lampau. Ia dipertahankan oleh anggota pasukan keselamatan yang sanggup berkorban apa sahaja hatta nyawa. Ia disuburkan oleh para murabbi dan pendidik yang gigih berjuang di kelas-kelas dan bilik kuliah. Ia dimakmurkan oleh wira swasta, wira korporat, para penjaja, waima peniaga kecil yang gigih dengan semangat keusahawanan mereka mencipta kemakmuran. Tuntasnya,  ia dilincirkan pula oleh para penjawat awam yang gigih berkhidmat.  
 
11.         Nyatanya, kejayaan dan kemakmuran Malaysia sepanjang ini tumbuh dan berkembang hasil sumbangan serta dokongan semua kaum, semua penganut kepercayaan, semua lapisan masyarakat, di desa mahupun di kota, yang berada ataupun tidak, tua atau muda. Kendati itulah, saya ingin tegaskan bahawa setiap seorang daripada kita mempunyai peluang yang terbentang di bawah langit Malaysia. Yang membataskan pencapaian masing-masing hanyalah kemahuan untuk berjaya, kesanggupan untuk bekerja keras dan keberanian untuk mengambil risiko.
 
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
 
12.         Di atas segala, sepanjang lebih lima dekad Malaysia telah melalui pelbagai detik dan panca peristiwa. Segalanya, dilalui penuh dengan suka duka, pahit manis dan jatuh bangun bersama dalam kemajmukan.
 
13.         Bertitik tolak dari kepahitan mengharungi ganasnya Bintang Tiga, keperluan monumental mengisi erti kemerdekaan bitara yang dicapai tanpa pertumpahan darah, kepincangan sosioekonomi, keretakan hubungan kaum tanggal 13 Mei 69, kemelesetan ekonomi 80an dan krisis kewangan Asia hujung 90-an. Semuanya telah kita tempuhi dan semuanya telah kita redahi dengan jaya. Ternyata walau apa pun, harus diinsafi bahawa kita tidak mampu bernostalgia dengan kejayaan lalu tanpa berusaha mencipta kejayaan-kejayaan baru.
 
14.         Lantaran itu, untuk menentukan hari esok lebih baik dari hari ini  pentadbiran saya telah pun memperkenalkan dasar-dasar yang lebih ampuh dan mampu menjulang kita menjadi sebuah negara yang maju. Sebermula  pentadbiran saya telah mengutarakan konsep 1Malaysia sebagai dasar yang mempaksikan matlamat kerajaan. Kita tidak berhenti setakat penyataan hasrat sebaliknya kita telah mengadakan prakarsa-prakarsa yang konkrit. Bermula dengan usaha merevolusi sistem penyampaian sektor awam, mengangkat agenda kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan perdana membawa kepada usaha merangsang ekonomi negara agar kemakmuran akan terus merahmati rakyat dan negara.
 
15.         Akhir kalam, ayuhlah kita suburkan semangat patriotisme yang membara dengan mendedikasikan usaha tanpa berbelah bahagi atas nama 1Malaysia. Marilah kita realisasikan masa depan yang lebih sejahtera dan makmur untuk semua rakyat Malaysia. Marilah kita pastikan panji keramat Jalur Gemilang berkibar megah di persada antarabangsa. Sama-samalah berdoa agar perjalanan mulia ini terus diberkati dan diberi petunjuk-Nya jua.
 
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

Perutusan Hari Kebangsaan Menteri Pelajaran

PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN
Y.A.B. TAN SRI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
SEMPENA
SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KALI KE-52
TAHUN 2009
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum  Warahmatullahi  Wabarakatuh
dan  Salam
Sejahtera.

 

1.  Alhamdulillah,  pada  tahun  ini  kita  menyambut  ulang  tahun
kemerdekaan  kali  ke-52.  Sepanjang  52  tahun  negara  kita  merdeka,
kita  telah  dilimpahi  dengan  nikmat  kebebasan,  keamanan  dan
perpaduan  di  kalangan  rakyat  yang  terdiri  daripada  pelbagai  kaum
dan  agama.  Dengan  nikmat  kemerdekaan  ini,  kita  telah  berjaya
memajukan  negara  dan menempa pelbagai bentuk kejayaan  sebagai
sebuah  bangsa  yang  merdeka.  Sempena  dengan  sambutan  Hari
Kebangsaan  pada  tahun  ini,  marilah  kita  bersama-sama  merafakkan
syukur di atas segala nikmat  kemerdekaan yang telah dianugerahkan
kepada kita selama ini.

 

2.  Perpaduan kaum merupakan prasyarat utama dalam usaha kita
untuk  membina  sebuah  negara  bangsa  yang  aman,  maju  dan
bersatu-padu.  Kemerdekaan  yang  kita  kecapi  pada  hari  ini

 

 

merupakan  manisfestasi  semangat  perpaduan  jitu  masyarakat
berbilang  kaum  yang  telah  diamalkan  sejak  sekian  lama.  Semangat
kerjasama,  toleransi  dan  pemuafakatan  yang  kukuh  ini  menjadi  titik
tolak  kepada  keharmonian  dan  keamanan  negara  yang  berterusan.
Justeru,  adalah  menjadi  tanggungjawab  kita  semua  sebagai  rakyat
negara  ini  untuk  memastikan  perpaduan  yang  kita  nikmati  terus
dipelihara  dan  diperkukuhkan  lagi  demi  memastikan  keamanan,
kemajuan dan kemakmuran negara negara yang berterusan.

 

3.  Sebagai  institusi  yang  bertanggungjawab  untuk  menjayakan
agenda  membina  negara  bangsa,  Kementerian  Pelajaran  sentiasa
berusaha  gigih  untuk  memperkukuhkan  perpaduan  di  kalangan
generasi  muda  sejak  dari  bangku  sekolah  lagi.  Ini  termasuklah
dengan  melaksanakan  program  berteraskan  perpaduan  seperti
Rancangan  Integrasi  Murid  Untuk  Perpaduan  (RIMUP).  Program
yang  bertujuan  untuk  menyemai  semangat  perpaduan  di  kalangan
murid  ini  adalah  jambatan  kepada  integrasi  nasional  dan  perpaduan
kaum yang akan dapat membantu kita mencapai aspirasi 1Malaysia.

 

4.  Sambutan  Hari  Kebangsaan  yang  bertemakan  1Malaysia  pada
tahun  ini  juga  menyuntik  semangat  baru  kepada  Kementerian
Pelajaran  untuk melebarkan  akses  pendidikan kepada seluruh  rakyat
Malaysia,  termasuklah  mereka  yang  berada  di  kawasan  luar  bandar
dan  pedalaman.  Fokus  Kementerian  Pelajaran  sekarang  ini  ialah
untuk  memastikan  setiap kanak-kanak  di  negara  ini mendapat akses
kepada  pendidikan  yang  berkualiti  tanpa  mengira  kaum  dan  lokaliti.
Selaras  dengan  hasrat  ini,  Kementerian  Pelajaran  sedang
 

 

 

melipatgandakan  usaha  untuk  meningkatkan  kadar  penyertaan
kanak-kanak  di  peringkat  pendidikan  pra-sekolah  di  seluruh  negara
serta  merapatkan  jurang  pendidikan  antara  murid    bandar  dan  luar
bandar.  Walaupun  tugas  ini  bukanlah  mudah,  saya  percaya  bahawa
ianya  boleh  dilaksanakan  dengan  adanya  komitmen  dan  tindakan
bersepadu seluruh warga pendidik di negara ini.

 

Guru-guru dan murid-murid y ang dikasihi,

 

5.  Peranan  utama  guru  ialah  untuk  mengisi  makna  sebenar
kemerdekaan.  Dalam  menghadapi  persaingan  era  globalisasi  dan
memenuhi  keperluan  untuk  menjadi  sebuah  negara  maju  pada  hari
ini,  peranan  guru  menjadi  semakin  mencabar.  Sesungguhnya  guru-
guru berada di barisan paling  hadapan untuk  melahirkan modal insan
yang  berpengetahuan,  berkemahiran  dan  berintegriti  bagi  memacu
kemajuan  negara  ke  tahap  yang  lebih  tinggi.  Lebih-lebih  lagi,  dalam
usaha  kita  untuk  melakukan  anjakan  daripada  ekonomi
berpendapatan  sederhana  kepada  ekonomi  berpendapatan  tinggi
yang  berasaskan  pengetahuan,  peranan  guru  untuk  melahirkan
modal  insan  yang  berpengetahuan  dan  berkemahiran  tinggi  menjadi
semakin penting.

 

6.  Dalam  melaksanakan  tugas  yang  amat  penting  ini,  para  guru
perlu  sentiasa  bersedia  untuk  melakukan  anjakan  paradigma  selari
dengan  perkembangan  semasa  di  peringkat  global.  Anjakan  ini
adalah  penting  bagi  memastikan  agenda  pendidikan  negara  kita

 

 

untuk  membina sebuah  negara bangsa  yang  maju  dan bersatu-padu
dapat dicapai sebagaimana dihasratkan.

 

7.  Bagi  para  murid,  anda  adalah  pemimpin  negara  pada  masa
hadapan.  Sebagai  pewaris  kepimpinan  negara,  anda  perlu
mempersiapkan  diri  dengan  menguasai  pelbagai  bidang  ilmu  dan
kemahiran.  Hanya  melalui  penguasaan  ilmu  dan  kemahiran,  anda
dapat  menyumbang  sesuatu  yang  berharga  kepada  negara  dan
sekaligus mengisi makna sebenar kemerdekaan.

 

Guru-guru dan murid-murid y ang dikasihi,

 

8.  Sempena ulangtahun  kemerdekaan pada tahun  ini, marilah kita
bersama-sama  memperingati  perjuangan  dan  pengorbanan  para
pemimpin  dan  pejuang  kemerdekaan  yang  terdahulu.  Mereka  telah
berjaya  meletakkan  asas-asas  penting  sebuah  negara  bangsa  yang
merdeka  dan  bersatu  padu  melalui  semangat  toleransi  dan
pemuafakatan  yang  tinggi.  Alhamdulillah,  asas-asas  perpaduan  ini
semakin diperkukuhkan  lagi  melalui konsep  penerimaan  antara kaum
yang  merupakan  sebahagian  daripada  gagasan  1Malaysia  yang
dicetuskan  oleh  YAB  Perdana  Menteri,  Dato’  Seri  Mohd.  Najib  Tun
Abdul Razak.

 

9.  Kita  seharusnya  bersyukur  kerana  dengan  nikmat
kemerdekaan  yang  kita  kecapi,  rakyat  Malaysia  telah  berjaya
mencipta kecemerlangan dalam pelbagai  bidang dan  mengharumkan
nama  negara  di  persada  antarabangsa.  Sempena  dengan sambutan

 

 

Hari  Kebangsaan  ini,  marilah  kita  bersama-sama  mengucapkan
syabas  kepada  para  saintis,  ahli  ekonomi,  kumpulan  profesional dan
jaguh-jaguh  sukan  kita  yang  telah  menempa  kejayaan  dalam  bidang
yang  diceburi.  Saya  berharap  agar  rakyat  Malaysia  akan  terus
mencipta kejayaan demi kejayaan pada masa akan datang.

 

10.  Akhir  kata,  saya  mengambil  kesempatan  ini  untuk
mengucapkan  selamat  menyambut  Hari  Kebangsaan  Kali  Ke-52
kepada  semua  warga  pendidik  dan  murid  di  seluruh  negara.  Marilah
kita berganding bahu dan melangkah sehaluan menuju kegemilangan
berbekalkan  semangat perpaduan,  persefahaman dan pemuafakatan
yang  jitu.  Marilah  kita  sama-sama  berdoa  agar  negara  kita  Malaysia
terus bebas, aman, makmur dan sejahtera.
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

 

Sekian.
Wabillahi  al-taufik  walhidayah  wassalamualaikum  warahmatullahi
wabarakatuh.

Perutusan Hari Kebangsaan Ketua Pengarah Pelajaran

PERUTUSAN
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
TAN SRI DATO’ HJ AMINUDDIN BIN HJ MOHD DOM
SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN
KEMERDEKAAN NEGARA KALI KE-52
Bismillahir Rahmannir Rahim,
Assalamualaikum  Warahmatullahi  Wabarakatuh  dan  Salam
Sejahtera.
1. Marilah  kita  bersama-sama  bersyukur  kepada  Ilahi  kerana
dengan  limpah  kurnia-Nya    kita  dapat  menyambut  Ulang
Tahun  Kemerdekaan  Kali  Ke-52  pada  tahun  ini.
Sesungguhnya,  kemerdekaan  ini amat  bermakna kepada  kita
kerana  kemerdekaan,  kedaulatan  dan  kemakmuran  negara
terus  terpelihara.    Nikmat  yang  sedang  kita  kecapi  ini  tidak
ternilai  harganya  dan  bukanlah  diperoleh  dengan  cara  yang
mudah  tetapi  hasil  daripada  pengorbanan  dan  perjuangan
para pemimpin kita pada masa lampau.
 

 

2. Kemerdekaan  yang  dinikmati  kini  dapat  dikekalkan  melalui
perpaduan  rakyat  yang  terdiri  daripada  pelbagai  kaum.
Kepentingan  perpaduan  rakyat  ini  juga  ditegaskan  oleh
Perdana  Menteri  Malaysia,  Datuk  Seri  Mohd  Najib  Tun
Razak  melalui  konsep
1MALAYSIA
yang  juga  Tema  Hari
Kebangsaan  kali  ini  “Rakyat  didahulukan  Pencapaian
diutamakan.”
1  MALAYSIA
ini  akan  mewujudkan
kesejahteraan  dan  kemakmuran  rakyat  dan  negara.    Selain
itu,  konsep  ini  dapat  menimbulkan  semangat  patriotik    iaitu
perasaan kasih, sayang dan cinta akan negara.
3. Melalui
1MALAYSIA
,  pendidikan  dan  pengetahuan  adalah
antara  prasyarat  penting  kelangsungan  hidup  (survival)
negara  untuk  mencapai  kemajuan.    Peluang  murid-murid
untuk  berinteraksi  berasaskan  kurikulum  dan  penekanan
nilai-nilai  murni  akan  dapat  menemukan  rakyat  Malaysia
pada  satu  titik  persamaan  iaitu  perpaduan.    Perpaduan  yang

 

dipupuk  sejak  di  bangku  sekolah  ini  akan  dapat  menjana
keharmonian hidup bermasyarakat dan sekali  gus  kita dapat
sama-sama  berganding  bahu  membangunkan  negara  supaya
dapat duduk sama rendah, ke arah sebuah negara maju.

 

4. Selain  itu,  pendidikan  dan  pengetahuan  dapat  diperoleh
melalui pembacaan.   Budaya  membaca mampu memperkaya
dan  membuka  minda  dengan  ilmu  pengetahuan  dan
seterusnya  membangunkan  masyarakat.    Bermula  dengan
amalan membaca, akan bercambahlah minda yang kreatif dan
inovatif  .    Sesuatu  tamadun  mampu  dirancang  dan  dibina
dengan  hebat  serta  dilonjakkan  dengan  pemikiran  yang
rasional  di  samping  iltizam  yang  konsisten  untuk  memacu
kegemilangan.    Oleh  itu,  murid-murid  perlu  mengamalkan
budaya ilmu ini untuk memastikan kecemerlangan diri dalam
pembentukan  modal  insan  minda  kelas    pertama  kerana
”Bangsa Membaca Bangsa Berjaya”.
 

 

 

Guru-guru dan murid-murid yang dikasihi

 

5. Kemerdekaan  yang  dicapai  ini  mempunyai  kaitan  dengan
rakyat yang berjiwa kental dan inginkan kedaulatan.   Rakyat
yang  berjiwa  merdeka  ialah  rakyat  yang  mempunyai  sifat-
sifat berdikari, berdaya  maju, berdaya saing dan mempunyai
minda yang terbuka.

 

6. Pencemaran  nilai  budaya  dan  bangsa  merupakan  cabaran
yang  berat  yang  perlu  ditangani  oleh  guru.    Lantaran  itu,
kempen  Budi  Bahasa  dan  Nilai  Murni  merupakan  agenda
penting  untuk  menyemarakkan  dan  menyemaikannya  ke
dalam  jiwa  setiap  rakyat  Malaysia.  Di  peringkat  sekolah,
guru-guru  perlu  mendidik  murid-murid  termasuklah  budi
bahasa  dan  berakhlak  mulia.    Berdisiplin,  bertegur  sapa,
hormat-menghormati,  tutur  kata  yang  sopan,  bersedia

 

 

memohon  maaf,  mentaati  peraturan  sekolah  dan
mengutamakan  kebersihan  serta  kesihatan  adalah  antara
sikap yang patut diamalkan.

 

7. Terdapat  segelintir  murid  yang  melanggar  peraturan  dan
disiplin sekolah malah mula terlibat dengan kegiatan jenayah
seperti  mencuri,  peras  ugut  serta  menagih  dadah.    Separuh
daripada  kes  pelanggaran  disiplin  yang  berlaku  ini  adalah
berpunca  daripada  murid  itu  sendiri  seperti  sentiasa  bersifat
menentang,  nakal,  malas  dan  bertindak  mengikut  perasaan.
Kebiasaannya  rakan  sebaya  sangat  berpengaruh  dalam
tingkah  laku  murid.    Di  luar  rumah  pula,  murid  berdepan
dengan  pelbagai  situasi  yang  banyak  mempengaruhi  corak
kehidupan mereka.  Oleh itu, pembinaan jati diri yang kukuh
perlu diterapkan  ke dalam  diri  setiap  murid  sebagai benteng
yang  mampu  mengawal mereka    dari  melibatkan  diri  dalam
sebarang kegiatan  negatif.

 

 

8. Dalam  hal  ini,  Kementerian  Pelajaran  memperkenalkan
konsep  “Sekolah  Penyayang”  bertujuan  melahirkan  murid
yang  berketrampilan,  sekali  gus  membendung  salah  laku
murid.    Konsep  “Sekolah  Penyayang”  menekankan  nilai
sayang-menyayangi dan mewujudkan kemesraan antara guru
dengan  murid  serta  warga  sekolah  dengan  ibu  bapa  serta
masyarakat  setempat.  Apabila  wujudnya  kemesraan  ini,
murid  akan  sentiasa  berasa  seronok  berada  di  sekolah
disamping  menimbulkan  rasa  sayang  terhadap  sekolah
justeru  merasa  bertanggungjawab  menjaga  nama  baik  serta
reputasi sekolah. 
9. Memandangkan penularan  wabak H1N1 kini,  warga sekolah
perlu  menjaga  kesihatan  dan  kebersihan  diri.    Berdasarkan
laporan terkini,  saban  hari  ada sahaja  kes  baru  yang dikesan
sama ada virus yang diimport manpan kes jangkitan di dalam
negara,  kita  perlu  sama-sama  melakukan  sesuatu  untuk
mengelakkan  diri  daripada  ancaman  H1N1  ini.    Oleh  hal

 

 

yang  demikian,  warga  sekolah    tidak perlu  cemas  dan mesti
mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak  berkuasa bagi
mengelakkan  penularan  wabak  yang  asalnya  tercetus  di
Amerika Syarikat dan Mexico ini.

 

 

10.  Generasi  yang  sihat  dan  berjiwa  merdeka  adalah
generasi  yang  sensitif    terhadap  maruah  dan  martabat
negaranya.    Justeru,  mereka  sanggup  berkorban  dalam  apa
bentuk jua  demi tanah air  tercinta supaya  sejarah lama tidak
berulang  kembali.    Generasi  inilah  yang  akan  menjana
kekuatan dan kemajuan negara pada masa hadapan.  Oleh itu,
besarlah  harapan  negara  agar  murid-murid  sebagai  generasi
yang  diharapkan  dapat  mengisi kemerdekaan negara  dengan
penuh bermakna.

 

 

11.  Akhir  kata,  saya  ingin  mengucapkan  Selamat
Menyambut  Ulang Tahun Kemerdekaan  Negara Kali Ke-52.
Marilah kita bersama-sama mengukuhkan perpaduan  sesama

 

kita.    Di  samping  itu,  kita      memperbaharui  tekad  untuk
menghayati  erti  kemerdekaan  yang  kita  nikmati  ini  agar
dapat menjadikan negara kita berada di mercu kegemilangan.
1MALAYSIA
“Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.”
MERDEKA…MERDEKA…MERDEKA…!