Pendidikan prasekolah penting

Sumber : Utusan Malaysia Online

KUCHING 25 Mac – Pendidikan prasekolah sangat penting untuk memupuk dan meningkatkan keyakinan diri anak-anak bagi mencapai kecemerlangan pada masa depan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, pendidikan awal itu juga dilihat sebagai landasan terbaik bagi meningkatkan kemahiran sosial, fizikal dan emosi dalam menentukan hala tuju seseorang.

Menurutnya, kesemua aspek itu harus diberi perhatian sebelum mereka memasuki alam persekolahan formal.

“Adalah penting untuk menghantar anak-anak mendapatkan pendidikan awal kerana ia juga mampu memupuk perpaduan sejajar dengan gagasan 1Malaysia.

“Pendidikan awal kanak-kanak merupakan asas kepada mereka untuk meneruskan pendidikan dan ibu bapa tidak boleh leka sebaliknya harus melengkapkan anak-anak dengan pendidikan sejak di peringkat awal,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata demikian ketika berucap sempena lawatannya ke Tadika Sinaran Jalan Astana di sini semalam.

Dalam pada itu, Daud memberitahu, pihak pengurusan sesebuah tadika perlu menyediakan pendidikan yang berkualiti agar anak-anak tidak menghadapi kesukaran apabila memasuki alam persekolahan sebenar.

Katanya, memang tidak dinafikan bahawa tadika-tadika yang ada di negeri ini menyediakan pendidikan yang bertaraf tinggi dan berkualiti, namun mereka perlu mempersiapkan malah mengukuhkan ketahanan fizikal serta mental anak-anak ini.

“Usaha tadika seumpama itu perlu diteruskan agar anak-anak tidak menghadapi sebarang kesulitan untuk meneruskan pelajaran pada peringkat lebih tinggi,” ujarnya.