Beri pendidikan berkualiti – TPM

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL dan FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

 

PORT DICKSON 28 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan golongan pendidik dan perancang agar menyediakan pengisian pendidikan yang berkualiti tinggi supaya generasi masa depan dapat mengikuti sistem pendidikan yang terbaik.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, memang menjadi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk melihat generasi masa depan menguasai pembelajaran secara efisien dan berkualiti termasuk dengan menyediakan kemudahan fizikal yang baik.

”Di sebalik perancangan kerajaan menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif, kita seharusnya tidak boleh melupakan tenaga manusia terlatih terutama dalam menyediakan modal insan yang diperlukan negara,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Sekolah Kebangsaan Intan Perdana di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Menurut Muhyiddin, kerajaan tidak akan mengabaikan sistem pendidikan negara kerana menyedari ia adalah perkara penting dalam pembangunan negara.

”Pendidikan adalah aspek yang kita (BN) berikan perhatian sejak dahulu lagi. Saya sebut ini kerana ia merupakan dasar kerajaan BN yang dibuat secara berterusan.

”Kita berikan perhatian yang paling utama dalam soal pendidikan bahkan memastikan akses pada pendidikan juga hendaklah berkualiti,” ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan mahu melihat pada masa hadapan anak- anak dididik dengan pemikiran berdaya tinggi, mampu menguasai sains dan teknologi serta hebat dalam bidang inovasi.

”Kita tidak boleh bergantung kepada tenaga asing dan kepakaran luar negara. Kita mahu melahirkan kelompok yang mahir di kalangan rakyat Malaysia dan ada kepakaran sendiri yang sekali gus mempercepatkan proses pembangunan negara,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dasar kerajaan cukup jelas dalam mengutamakan pendidikan di negara ini dan ia sepatutnya tidak dipersoalkan oleh sesiapa pun.

”Kita tidak mahu ada anak-anak kita yang terkecuali dalam soal pendidikan. Kita mahu mereka diberikan peluang belajar yang secukupnya supaya mereka boleh menimba ilmu dan mentadbir negara pada masa hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, kementerian telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta lagi bagi membangunkan sekolah menengah berdekatan sekolah rendah tersebut.

Katanya, kos pembinaan Sekolah Kebangsaan Intan Perdana yang menyediakan 18 bilik darjah dan dua kelas pra sekolah juga ditambah RM500,000 lagi berbanding kos asal RM18 juta kerana ia menggunakan sistem binaan industri (IBS).

”Sekolah lama di sekitar kawasan ini sudah terlalu sesak dan ketika ini ia hanya mampu menampung lebih 1,700 pelajar. Jadi kita bersetuju untuk membangunkan sekolah yang baru di Taman Intan Perdana ini.

”Kita mahu memastikan pembinaan sekolah itu nanti dibuat secepat mungkin dan akan menggunakan kaedah pembinaan IBS. Saya mahu melihat sekolah rendah ini dapat dibina bermula awal 2010 dan dapat disiapkan sebelum penghujung 2011,” tegasnya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM3.8 juta bagi membaiki dan menaik taraf 21 buah sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang kepada Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Muhammad.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: